Anda mungkin mempunyai soalan tentang cara untuk memastikan keselamatan anda atau anak-anak anda semasa bersambung kepada permainan kami melalui peranti mudah alih anda. Perkara seperti had umur, pembelian dalam aplikasi dan privasi ialah kebimbangan yang wajar, jadi kami di sini akan memastikan anda akan mendapat sokongan yang diperlukan.
Untuk memastikan anda boleh menikmati permainan Supercell dalam persekitaran yang selamat dan terkawal, kami berpegang pada prinsip yang jelas untuk kami dan pemain kami:
- Kami menghormati pemain kami dan kami berusaha sedaya upaya demi menghasilkan permainan yang paling menyeronokkan. Kami tidak akan mengorbankan kualiti permainan bagi sebarang pertimbangan jangka pendek lain.
- Kami ingin anda menguasai sepenuhnya pengalaman anda dengan permainan Supercell. Ini bermakna sebelum anda atau anak anda memuat turun permainan kami, anda terlebih dahulu akan diberikan maklumat tentang kandungan permainan. Ini bermakna anda harus tahu apabila anda ingin membuat sebarang pembelian dalam permainan.
Jika anda atau anak anda mempunyai sebarang masalah dengan permainan kami, anda akan dapat mencari penyelesaian dengan cepat. Kami juga menyediakan panduan seperti ini, yang mana kami akan membantu anda menghubungi syarikat yang betul untuk masalah anda, sama ada berkaitan pembayaran (biasanya Google atau Apple, yang memproses pembelian dan bayaran balik) atau permainan itu sendiri (biasanya kami).
Teruskan membaca dan kami akan cuba menjawab soalan yang mungkin anda ada. Jika ada apa-apa yang kami terlepas, hantarkan emel kepada kami di parents@supercell.com. Dalam e-mel anda, pastikan anda memasukkan maklumat tertentu yang mungkin berguna, seperti apa yang berlaku dan bila ia berlaku, resit ID transaksi jika ada, tangkapan skrin yang berkaitan, dll.
Apakah had umur dan dasar umum bagi permainan Supercell?
Permainan kami tiada had umur umum. Namun, pemain permainan kami patut ambil perhatian bahawa di bawah Terma Perkhidmatan kami, pengguna di bawah umur sah di negara mereka bermastautin memerlukan penjaga sah untuk menyetujui Terma Perkhidmatan kami sebelum mendaftarkan akaun mereka.
Sila ambil perhatian! Apabila anda memuat turun permainan kami daripada aplikasi seperti Google Play atau Apple App Store, anda akan melihat pengesyoran umur yang ditunjukkan dalam perihalan aplikasi. Walau bagaimanapun, umur atau klasifikasi kematangan ini hanya merujuk pada kesesuaian kandungan (sama dengan penilaian filem G, PG atau PG-13 di A.S., tetapi yang berkaitan dengan permainan, animasi dll.) menurut badan penilaian berkenaan yang bertanggungjawab ke atas penilaian sedemikian. Oleh kerana penilaian ini dilakukan secara berasingan oleh pihak ketiga, ia tidak semestinya selaras dengan Terma Perkhidmatan kami.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang cara kategori ini ditakrifkan, sila melayari laman web sokongan ini untuk Apple (di bawah bahagian Rujukan) dan Google.
Bagaimanakah saya boleh mengurus atau mematikan pembelian dalam aplikasi?
Semua permainan kami percuma untuk dimuat turun. Sila maklum bahawa permainan kami juga menawarkan “pembelian dalam aplikasi” yang merupakan pilihan sepenuhnya. Pembelian ini tidak diperlukan untuk bermain permainan ini, tetapi boleh digunakan untuk mempertingkat beberapa elemen permainan. Harga pembelian dalam aplikasi berbeza-beza. Sebagai contoh, julat harga di App Store A.S. ialah $0.99 hingga $99.99 (tanpa cukai).
Pembelian dalam aplikasi dibayar dengan wang sebenar dan selalu dilabelkan dengan jelas. Ia boleh diakses dalam permainan, bermaksud pilihan untuk membuat pembelian boleh ditemui dalam permainan.
Penting: Anda boleh menguruskan pembelian dalam aplikasi, melaraskan tetapan perlindungan kata laluan atau melumpuhkan pembelian dalam aplikasi sepenuhnya melalui tetapan umum peranti mudah alih anda dengan mudah. Cara melakukan ini bergantung kepada sama ada anda menggunakan peranti Apple iOS, seperti iPhone atau iPad atau pun peranti Google Android. Mana-mana cara pun, arahan yang anda perlukan ada di sini:
Siapakah yang memproses pembelian dalam aplikasi?
Di Supercell, kami tidak memproses bayaran untuk pembelian dalam aplikasi atau mempunyai akses kepada sebarang maklumat kad kredit anda. Ini adalah kerana transaksi pembayaran diselesaikan melalui Apple App Store atau Google Play (bergantung pada peranti anda) menggunakan alamat e-mel peribadi anda yang disambungkan kepada akaun tersebut. Resit untuk transaksi ini dihantar melalui e-mel kepada anda oleh Apple atau Google selepas setiap pembelian (Namun, sila maklum bahawa sebarang proses pasca pembelian dikawal oleh Apple atau Google dan tertakluk pada perubahan oleh mereka).
Saya menemui laman lain yang menawarkan produk dalam permainan untuk permainan Supercell. Bolehkah saya membeli daripada mereka?
Berhati-hati dengan mana-mana laman pihak ketiga yang menjanjikan anda tambahan untuk permainan kami (seperti laman web “permata percuma” dan lain-lain). Tapak ini mungkin mengumpul maklumat peribadi, wang atau kedua-duanya dan biasanya tidak menghantar produk dalam permainan yang dijanjikan. Jika anda ingin membuat pembelian dalam aplikasi, cara paling selamat ialah membuat pembelian melalui permainan itu sendiri pada peranti mudah alih anda. Menjual, menebus atau jual/beli mata wang dalam permainan maya adalah tidak dibenarkan oleh Terma Perkhidmatan kami.
Anak saya telah membuat pembelian dalam aplikasi secara tidak sengaja. Bolehkah saya mendapat bayaran balik?
Seperti kebanyakan produk perisian yang boleh dimuat turun, item yang dibeli dalam permainan kami (pembelian dalam aplikasi) tidak boleh dibayar balik. Pengecualian boleh diberikan dalam kes-kes jarang berlaku.
Jika pembelian dibuat pada peranti Apple (iOS):
Supercell tidak dapat mengendalikan bayaran balik secara terus jika pembelian dibuat pada peranti iOS. Sila lawati sokongan Apple.
Jika pembelian dibuat pada peranti Google (Android):
Sila hantar e-mel ke parents@supercell.com atau hubungi kami terus melalui Bantuan & Sokongan. Dalam mesej anda, sila nyatakan nama permainan di mana pembelian dibuat dan lampirkan resit pembelian tersebut. ID transaksi (seperti ini - GPA.1234-1234-1234-12345) berada di sebelah bawah dokumen mestilah jelas kelihatan. Resit untuk transaksi telah diemelkan kepada anda oleh Google selepas setiap pembelian.
Saya telah menerima bil untuk pembelian yang saya tidak lakukan. Apakah yang perlu saya lakukan jika saya mengesyaki aktiviti penipuan?
Jika anda atau anak anda tidak pernah bermain salah satu permainan kami, tetapi mengesyaki terdapat aktiviti transaksi penipuan dalam akaun anda, maka anda perlu segera menghubungi Apple (untuk peranti iOS) atau Google (untuk peranti Android), yang mengawal proses transaksi.
Untuk peranti Apple (iOS):
Layari sokongan Apple dan pilih pilihan yang paling sesuai untuk anda.
Untuk peranti Google (Android):
Lawati sokongan Google dan lakukan carian, atau gunakan butang "Hubungi kami" yang ada pada halaman itu.
Jika anda telah menghubungi Apple atau Google mengenai aktiviti penipuan yang disyaki dan mereka menujukan anda kepada kami, sila hubungi kami di transactions@supercell.com. Dalam e-mel anda, pastikan anda memasukkan maklumat tertentu yang mungkin berguna, seperti apa yang berlaku dan bila ia berlaku, resit ID transaksi, tangkapan skrin yang berkaitan, dll.
Pastikan juga anda membaca artikel bahagian Isu Penipuan kami untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti penipuan yang disyaki.
Apakah dasar privasi Supercell?
Privasi anda sentiasa menjadi keutamaan kami. Di Supercell, kami tidak mempunyai akses kepada sebarang maklumat kad kredit anda. Ini adalah kerana transaksi pembayaran diselesaikan melalui Apple App Store atau Google Play (bergantung pada peranti anda) menggunakan alamat e-mel peribadi anda yang disambungkan kepada akaun tersebut. Kami juga akan sentiasa meminta kebenaran anda untuk menghantar mesej pemasaran terus ke peranti mudah alih anda.
Kami tidak akan menjual atau mendedahkan data peribadi anda kepada pihak ketiga untuk tujuan komersial mereka sendiri.
Baca selanjutnya mengenai Dasar Privasi kami (dalam bahasa Inggeris).
Melindungi Maklumat Peribadi Saya
Apabila menghantar resit atau tangkapan skrin kepada pihak Sokongan Pemain, pastikan data peribadi (PII) telah dikaburkan. Lihat panduan kami tentang cara menapis data peribadi daripada resit dan tangkapan skrin anda di sini.
Bagaimanakah saya boleh menghubungi Supercell?
Seperti yang kami katakan, kami sedia membantu! Jika anda mempunyai sebarang soalan, hantarkan e-mel kepada kami di parents@supercell.com. Dalam e-mel anda, pastikan anda memasukkan maklumat tertentu yang mungkin berguna, seperti apa yang berlaku dan bila kejadian itu berlaku, resit ID transaksi, tangkapan skrin yang berkaitan dll.
Anda juga boleh menyemak halaman Sokongan kami untuk lebih banyak maklumat. Sumber tambahan dalam permainan boleh ditemukan di Tetapan > Bantuan. Di sana anda boleh membaca soalan lazim atau melaporkan isu yang akan secara automatik merangkumi maklumat asas permainan anda supaya kami boleh membantu anda dengan lebih baik.
Apakah fungsi ruang bual dalam permainan Supercell?
Ramai pemain kami gemar berinteraksi antara satu sama lain melalui bual kumpulan dalam permainan kami dan kami berusaha untuk mengekalkan persekitaran yang selamat dan terjamin untuk tujuan ini. Kami tidak mempunyai kemudahan bual peribadi dalam mana-mana permainan kami dan kami memaparkan amaran berkala terhadap perkongsian maklumat peribadi. Kami juga telah membina dan sentiasa mengemas kini satu ‘senarai hitam’ kata-kata kesat dan frasa yang boleh ditemui dan dikeluarkan dengan cepat daripada semua bahagian permainan kami.
Jika terdapat sebarang isu, permainan kami mengandungi alat untuk pemain melaporkan kepada kami kelakuan yang tidak senonoh, menghina atau tidak sesuai. Kami juga telah membolehkan pengguna membisukan bual daripada mana-mana pemain lain yang mesejnya mereka tidak mahu lihat.
Jika anda ingin melaporkan sebarang kebimbangan melalui e-mel, anda juga boleh menghubungi kami di parents@supercell.com. Sila pastikan e-mel anda mengandungi butiran khusus sebanyak yang mungkin bagi membantu kami memahami dan mengenal pasti masalah anda dengan cepat.
Terima kasih atas bantuan anda dalam memastikan permainan kami selamat dan menyeronokkan!
Maklumat lanjut
Jika anda mahu mengetahui lebih lanjut tentang permainan Supercell, sila layari di sini.